MENU

Kemusnahan tapak Ramsar di Tasik Bera jejas projek tanaman semula pokok balak

BERA: Pencerobohan Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) di daerah ini menyebabkan usaha tanaman semula dengan pokok balak di situ selama ini menjadi sia-sia. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut terbabit dalam projek tanaman semula anjuran Yayasan Alam Sekitar Sultan Ahmad Shah itu, jelas kecewa dengan pihak yang memberi kebenaran kepada penceroboh tapak Ramsar berhampiran Tasik Bera itu. Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera berkata, pencerobohan itu merencatkan usaha penanaman semula pokok balak yang dijalankan bersama pelajar dan NGO selama ini. "Sekiranya benar pencerobohan kawasan itu diluluskan Jabatan Perhutanan untuk projek penanaman getah, ia jelas melanggar prinsip menjaga dan memulihara alam sekitar yang ditekankan kerajaan. "Walaupun ada yang menyatakan pejabat hutan nak simpan 10 peratus, adakah ia memadai? Adakah 10 peratus yang hendak disimpan itu memadai berbanding 90 peratus yang perlu ditolak?," katanya kepada pemberita selepas Majlis Korban Perdana Parlimen Bera di Masjid Darul Fikri di sini hari ini. Ismail Sabri berkata demikian sebagai mengulas aktiviti penerokaan tanah di sekitar tapak Ramsar seluas 40.46 hektar itu yang dipercayai bagi tujuan penanaman getah sehingga menggondolkan kawasan berkenaan. Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Datuk Mohd Fadil Osman; Ketua Pemuda UMNO Bera, Mohamad Zoolihsan Ahmad dan Pegawai Daerah Bera, Razihan Adzharuddin. Ekoran pencerobohan itu, Mohd Fadil merujuk satu salinan surat kelulusan Jabatan Perhutanan negeri kepada sebuah syarikat sambil meluahkan kekecewaannya apabila ia dibuat tanpa memaklumkan kepada pejabat daerah dan wakil rakyat. Jabatan Perhutanan bagaimanapun mendakwa tidak pernah memberi kelulusan kepada mana-mana pihak untuk meneroka kawasan Ramsar tersebut dan menjelaskan pihaknya akan menanam semula pokok bersesuaian di situ. Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri, Azmer Mohammad berkata, walaupun pemantauan dan penguatkuasaan giat dijalankan, aktiviti penerokaan tanah di kawasan tersebut tetap dilakukan. Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata pejabat tanah dan daerah bersama wakil rakyat setempat perlu sentiasa melakukan perancangan untuk membangunkan kawasan masing-masing tanpa mengenepikan kepentingan masyarakat setempat. Justeru katanya, setiap projek pembangunan yang hendak dilakukan kerajaan negeri atau pusat seharusnya mendapat pandangan daripada pejabat daerah sebelum dilaksanakan supaya ia tidak membangkitkan sebarang isu yang menimbulkan keresahan masyarakat setempat. -BERNAMA